"Kenapa? Dr sedih ke kalau kami tak ambil kursus fakulti sains?"
Pertanyaan tersebut membuatkan saya termenung seketika.
Bermula minggu lepas, saya telah mengambil alih tugasan mengajar pelajar=pelajar ekspress MARA-UTM. Sukatan silibus yang perlu di hadamkan oleh pelajar tersebut adalah separas tahap pengajian matrikulasi. Namun, saya suka mengeksplorasi contoh-contoh yang lebih 'advanced' kepada pelajar sebagai bahan tambah pengajaran supaya ianya menjadi lebih menarik.
"Bila nanti awak ambil kursus kimia, awak akan akan belajar topik ini lebih khusus dalam satu subjek berbeza." jelas saya kepada pelajar tersebut. "Boleh saya tahu berapa orang ‘plan’ untuk ambil kursus kimia?. Tanya saya lagi.
Hanya dua orang sahaja yang memberikan 'respons' yang mereka telah memilih untuk terus mendaftar sebagai pelajar sains kimia untuk tahun seterusnya. Pelajar yang lain kebanyakannya akan mengambil kursus kejuruteraan.
"Saya tidaklah sedih, asalkan awak pilih kursus yang awak pasti minat dan sesuai dengan kebolehan masing-masing", jawab saya pada mereka. "Tapi sedihlah juga sikit-sikit', sambung saya lagi. Semua pelajar tersenyum.
Apa yang saya utarakan di atas mempunyai makna kepada peranan pensyarah dan kualiti yang ada di fakulti sains. Ramai menganggap fakulti sains merupakan fakulti yang memberikan perkhidmatan kepada fakulti lain. Dengan kata lain, fakulti lain mempunyai akses yang cukup meluas untuk mendapatkan bantuan daripada fakulti sains berupa tenaga pengajar. Dan berikutan daripada penganjuran program ekspress MARA -UTM tersebut, fakulti lain kini memperolehi satu lagi nilai tambahan percuma berupa pelajar yang terbaik.
Kita semua sedia maklum, transisi daripada persekolahan ke universiti adalah tempoh penting yang perlu diberikan perhatian terutamanya melibatkan persoalan perubahan 'mind-setting'. Pelajar di tahun pertama pengajian memerlukan tambahan didikan daripada pensyarah masing-masing terutamanya dalam proses penyesuaian diri mereka dengan suasana universiti. Peranan pensyarah pelajar tahun pertama cukup signifikan bagi menentukan langkah pelajar seterusnya. Sejak sekian lama, fakulti sains telah berjaya mendidik pelajar bagi program ekspres tersebut dengan kekangan tenaga dan masa yang ada. Kemudiannya, pelajar-pelajar yang telah sedia terdidik akan disalurkan kepada fakulti-fakulti lain mengikut pilihan pelajar. Universiti sewajarnya melihat peranan yang telah di mainkan oleh fakulti sains dalam proses keseluruhan kelahiran seseorang graduan daripada peringkat awal sehingga ke akhir.
Dan jika ada pelajar tersebut yang berjaya dengan cemerlang, bukankah fakulti sains juga berhak menumpang tuah walaupun akhirnya mereka bergraduan melalui label fakulti lain?
Saya bukan bercakap mengenai persaingan antara fakulti kerana menyedari hubungan 'empowerment' antara satu sama lain adalah cukup penting dalam ekosistem universiti kita. Namun, apa yang saya tekankan adalah antara salah satu kualiti yang ada pada fakulti sains yang sewajarnya diberikan markah A+ oleh semua pihak. Itu belum lagi melibatkan kualiti R&D yang banyak menjana proses penyelidikan universiti yang akan di ulas lagi dalam tulisan mendatang.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiEDAi2ye-3ag1ZcTI9V25ZLX6-JJrHH1JLDUmGYUHYYePuZ9wlVk81NLAZSCwN22dIj1QA7R75lTVTFty9k5rjG2cZtLAHUBh1MXLpMWot3TEVgNIIWmx2kn-xEdDBFwORa1JXkCMEfMM/s320/dsc.jpg)
Kelas pengajaran saya akan berakhir pada minggu ini. Sudah tentu ianya satu pengalaman yang menggembirakan walaupun kadang-kadang meletihkan. 'Kudos' untuk pensyarah fakulti sains terutamanya di jabatan kimia yang bersekang mata bersingsing lengan dalam mendidik semua para pelajar. Lupa pula saya. Semuanya juga adalah pensyarah-pensyarah saya juga sewaktu ketika dahulu :) Salut!