Monday, August 9, 2010

IHYA' RAMADHAN 2010

Oleh Prof. Madya Dr. Satapah Ahmad

Ramadhan, Dulu, Kini dan Selamanya



Ramadhan adalah bulan mulia yang merupakan penghulu segala bulan, bulan yang penuh dengan keberkatan yang seharusnya dinanti-nantikan oleh semua manusia, terutama orang yang beriman. Bulan ini membuka peluang seluas-luasnya kepada orang yang beriman untuk merebut sebanyak-banyak pahala daripada Allah SWT semata-mata untuk persediaan dan kepentingan akhirat – dengan harapan mereka akan menemui Allah SWT dengan penuh kegembiraan, insyaAllah.  Bulan Ramadhan akan melatih dan mendisiplinkan manusia ke arah ketaqwaan kepada Allah SWT. Oleh itu sewajarnyalah kita mempersiapkan diri dengan sebaik-baik yang mungkin bagi menghadapi bulan ini dan seterusnya merebut peluang keemasan yang telah dibuka oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya – Allah Al-Rahman, Al-Rahim – Maha Pengasih dan Maha  Penyayang. Maka terpulanglah kepada kita sebagai hamba-Nya untuk mendapat rahmat tersebut melalui amalan yang dilaksanakan dengan penuh kesedaran, kefahaman, ketulusan dan keikhlasan hati semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya. Harus diingatkan juga amalan ini perlu diteruskan hinggalah bertemu semula Ramadhan pada tahun akan datang, insyaAllah.


 
Tujuan utama dan erti yang besar dalam ibadat puasa ini ialah untuk meningkatkan ketaqwaan manusia kepada Allah SWT. Ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dshulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa”. Secara ringkas taqwa bermaksud taat/takut kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan secara bersungguh-sungguh segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

 
Terdapat banyak keterangan sama ada dalam Al-Quran atau Hadis Nabi SAW  tentang keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadhan,  yang semuanya menjadi pendorong, penggerak dan motivasi kepada manusia beriman supaya mampu melaksanakan latihan Ramadhan itu untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Alalah SWT. Antaranya ialah:
•    Bulan diturunkan Al-Quran
•    Semua pintu Syurga dibuka
•    Semua pintu Neraka ditutup
•    Semua jenis syaitan dibelenggu/dirantai (tidak berupaya menggoda manusia)
•    Amalan/solat wajib diberi pahala 70 kali ganda
•    Amalan/solat sunat diberi pahala seperti amalan wajib
•    Semua amalan baik diberi pahala berlipat kali ganda daripada biasa
•    Terdapat malam Lailatur Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan
•    10 malam pertama Ramadhan adalah rahmat
•    10 malam pertengahan adalah pengampunan
•    10 malam terakhir adalah pembebasan daripada api Neraka. 





Melihat kepada kelebihan bulan Ramadhan yang disenaraikan di atas, ternyata bulan Ramadhan adalah bulan terpenting dalam kehidupan seseorang muslim. Tidak hairanlah mengapa para sahabat menangis apabila Ramadhan hampir pergi meninggalkan mereka, kerana mereka inginkan supaya Ramadhan terus kekal sepanjang tahun. Tidak hairan juga kita melihat manusia berduyun-duyun datang ke masjid/surau untuk berjamaah, bertarawikh dan sebagainya untuk memanfaatkan Ramadhan, walaupun ada sebahagiannya jarang kelihatan pada bulan lain.
 
Keluasan rahmat Allah SWT dalam bulan ini menjadi penggerak dan motivasi untuk melatih diri meningkatkan taqwa, seterusnya mendisplinkan diri sesuai dengan ajaran Islam dalam apa segala hal, supaya setiap amalan itu tidak menurut hawa nafsu, apa lagi godaan syaitan. Renungkanlah beberapa contoh mudah di bawah ini yang sering dan rutin berlaku dalam bulan Ramadhan. Alangkah baiknya sekiranya amalan sebegitu terus dilakukan secara berterusan, insyaAllah kita akan menjadi manusia mukmin dan contoh insan terbaik dalam menjalani kehidupan di dunia ini, dan seterusnya berjaya di akhirat.

 
•    Amalan menepati waktu semasa berbuka puasa. Alangkah baiknya sekiranya terus diamalkan di sepanjang hayat dalam apa segala urusan.
•    Amalan kuat beribadat, membaca Al-Quran dan sebagainya seperti yang tergambar dalam amalan sembahyang berjamaah di masjid/surau, ditambah dengan bertarawikh, bertadarus,  dan sebagainya. Alangkah baiknya sekiranya terus diamalkan di sepanjang hayat untuk beribadat dalam konteks yang lebih luas, bagi menuntut ilmu dan beramal menjadikan orang beriman itu manusia unggul di dunia dan akhirat, insyaAllah.
•    Amalan bangun malam bersahur dan sebagainya. Alangkah baiknya terus diamalkan di sepanjang hayat untuk diganti dengan bertahajud, qiamullail dan lain-lain, juga akan menjadikan orang beriman itu manusia unggul di dunia dan akhirat, insya Allah.

 
Seharusnya setiap latihan itu menjadi pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga dan perlu diterapkan dalam semua amalan harian selanjutnya kerana tidak ada satupun gerak geri, tingkah laku dan amalam kita yang terlepas daripada peraturan Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dalam semua perkara yang kita lakukan, amalan yang dilaksanakan itu perlu diizinkan oleh agama, diamalkan dengan niat hati yang bersih, tulus ikhlas, kemudian laksanakan amalan itu dengan mengikut peraturan agama, tanpa melanggar batas, jauh sekali perkara yang haram. InsyaAllah semuanya akan mendapat ganjaran baik yang setimpal daripada Allah SWT. Dalam hal ini pensyarah, guru, atau pendidik secara keseluruhannya sangat beruntung jika berjaya dalam latihan Ramadhan ini dan seterusnya berazam untuk menerapkan perkara itu dalam perlaksanaan tugas mereka.

 
Amat menyedihkan dan merugikan sekiranya disiplin dan kesungguhan yang dilatih melalui Ramadhan itu luput begitu sahaja setelah kedatangan Syawal. Sedangkan latihan intensif sebulan Ramadhan itu, jika tidak gagal, seharusnya memberi kesan positif yang nyata sepanjang tahun, bahkan sepanjang hayat. Kegagalan ini haruslah dijauhkan kerana, jika berlaku ia jelas menggambarkan kelemahan kita dalam menjalani latihan tersebut, dan menjadikan seolah-olah latihan Ramadhan hanya olok-olok sahaja, Dalam banyak contoh setelah tamat latihan Ramadhan, ramai yang kembali kepada keadaan seperti dahulu, bahkan kadang-kadang mungkin lebih teruk lagi. Semoga kita semua dijauhkan Allah SWT daripada sifat sedemikian.

1 comment:

  1. Mari sama2 kita berusaha mencapai yang terbaik untuk bulan ini. Bukan senang nak dapat pahala dan rahmat Allah secara mudah!

    Terima kasih atas peringatan Dr. Satapah!

    ReplyDelete