Thursday, May 20, 2010

Revisit Bajet 2010

SEMPENA PENYERTAAN JABATAN DI MINGGU SAINS, TEKNOLOGI DAN ICT  (MISTI 2010) PERINGKAT NEGERI JOHOR  (22-27 JUN 2010)

Pembentangan belanjawan negara bagi tahun 2010 telah di lakukan pada akhir bulan oktober tahun lepas. Pelbagai pihak yang berminat telah berdiskusi berkenaan hala tuju dan polisi kewangan yang perlu dijadikan landasan keutamaan bagi pacuan ekonomi untuk 2010 sebelum bermulanya dasar Rancangan Malaysia Ke-10 bagi tahun 2011-2015. Harus diingat bahawa bajet 2010 di bentang ketikamana ekonomi negara dan rantau dunia mula menunjukkan isyarat positif rentetan dari kemelesetan sebelumnya. Namun, kekangan kewangan masih tetap di rasai, seraya agihan kek belanjawan kali ini perlu diperhatikan dengan cermat supaya ianya terus dapat meningkatkan daya saing negara ke tahap lebih tinggi. Akan tetapi, pada masa yang sama agenda memasyarakatkan ekonomi negara tidak di ketepikan.

Bagi masyarakat sains, pembentangan belanjawan  memberikan input terbaik terhadap keseriusan kerajaan dalam menjadikan bidang sains dan teknologi, S&T sebagai satu teras utama kemajuan negara seiring negara maju yang lain. Tumpuan belanjawan dalam meningkatkan kualiti pendidikan S&T pada semua peringkat harus mendapat perhatian. Ini kerana negara telah menyasarkan untuk memenuhi nisbah bilangan saintis dan jurutera penyelidikan (RSE) sehingga mencapai sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2010. Mengikut rekod kajian Pusat Sains dan Teknologi Maklumat Malaysia (MASTIC), nisbah RSE yang di catatkan negara pada tahun 2006 iaitu 17.9 RSE iaitu jauh dari nisbah RSE yang dimiliki oleh negara-negara maju seperti Singapura (87.4), Korea (89.9), Jerman (112.1), New Zealand (178.8) dan Jepun (202.8). Di peringkat awal pendidikan, proses pemulihan kembali polisi PPSMI seharusnya diberikan keutamaan terutamanya dalam menarik kembali minat pelajar kepada bidang S&T. Oleh kerana faktor bahasa pembelajaran telah di kenalpasti banyak menyekat pemupukan minat awal pelajar sebelum ini, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang bersegera bagi memastikan lompongan pendidikan S&T yang telah terbentuk berjaya ditampung. Di peringkat pendidikan pengajian tinggi pula, peruntukan geran biasiswa dan penyelidikan untuk pelajar di peringkat pasca siswazah; sarjana dan PhD perlu diteruskan dan di berikan lebih nilai tarikan menepati aspirasi peningkatan modal insan S&T yang digariskan oleh MOSTI. Lebih dari itu, penerokaan segmen baru dalam peruntukan penyelidikan peringkat pasca kedoktoran sepertimana amalan negara maju perlu dilakukan dengan kadar segera bagi memastikan kelangsungan penyelidikan terarah dilakukan pada peringkat tertinggi.

Kedudukan terkini penarafan universiti sedunia berdasarkan culaan pihak THE-QS telah dikeluarkan dan menyaksikan perubahan kedudukan beberapa universiti tempatan. Lonjakan tersebut berlaku kerana terdapatnya perubahan drastik dalam sistem urustadbir universiti terutamanya dari segi usahasama peringkat antarabangsa dan pengiktirafan penyelidikan walaupun perlu dinyatakan bahawa perubahan tersebut agak lewat berlaku. Antara kunci utamanya adalah peningkatan penerbitan penyelidikan yang teraku mutunya serta menjalani penilaian yang lebih bersistematik. Namun, momentum yang telah di mulakan memerlukan dana yang cukup tinggi bagi memastikan penyelidikan yang strategik terus terlaksana. Naib Canselor UM, dalam kenyataannya menyebut universiti tempatan memerlukan minima belanjawan sekurang-kurangnya RM 200 juta bagi meninggikan dayacapai setanding universiti terkemuka dunia. Di negara kita, kebanyakan bidang penyelidikan dan inovasi negara masih lagi tertumpu di universiti dengan belanjawan penyelidikan masih lagi menjadi faktor penghad. Oleh itu, langkah galakan kepada pihak swasta untuk turut terlibat sama dalam usaha penyelidikan adalah dialu-alukan terutamanya dalam penyelidikan berdaya maju yang boleh mencapai tahap pengkomersilan. Pihak kerajaan perlu menyediakan insentif-insentif menarik kepada pihak industri yang mahu turut sama menyumbang ke arah peningkatan bidang penyelidikan dan inovasi negara.

Belanjawan yang dilakukan pada masa ekonomi sedunia menguncup memaksa kerajaan untuk lebih berhemah dan melakukan banyak pemotongan peruntukan mengikut keperluan negara. Kementerian MOSTI akan berperanan sebagai penasihat utama bagi memastikan peruntukan belanjawan untuk tujuan S&T tidak mengalami kemunduran kewangan. Akan tetapi, saintis juga perlu berperanan bagi meyakinkan pihak kerajaan terutamanya ahli politik akan kepentingan sains dan mampu menjelaskan bagaimana sains mampu menyumbang kepada masyarakat pada masa kemelesetan tersebut.

4 comments:

  1. Alhamdulillah hari ini, 20 May 2010, kumpulan research group saya sempat buat sesi brainstorming dan way forward bagi vot penyelidikan yang kami baru dapat early this year (2010). Projek ini dengan kerjasama Jabatan Perikanan Gelang Patah disasarkan akan menjana produk makanan akuakultur yang murah dan bermutu tinggi inshaAllah, sekali gus diharapkan dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi Negara.

    ReplyDelete
  2. Bermulanya satu angan-angan Mat Jenin...

    ReplyDelete
  3. bravo kak oha!
    lepas ni boleh target long-term (or short?) untuk spin-off company pula..outcome yang cukup bermanfaat.

    ada satu buku tajuknya 'the power of thinking big'.
    dah diterjemah oleh PTS ke bahasa melayu..
    dont have time yet to figure out what they say.
    perhaps relate to that angan-angan mat jenin..

    ReplyDelete
  4. Kak Oha ada buku tu di rumah. he.he tapi dah tak ingat apa contentnya.

    ReplyDelete