Thursday, June 23, 2011

Karnival Kimia Malaysia 2011


Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia telah terpilih sebagai tuan rumah penganjuran Karnival Kimia Malaysia (K2M) bagi zon selatan sempena menyambut tahun antarabangsa kimia 2011. Karnival yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Institut Kimia Malaysia (IKM), dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Pelbagai aktiviti menarik disediakan di karnival ini, antaranya pameran, demonstrasi eksperimen kimia, bas bergerak pusat sains negara, pertandingan olimpiad kimia, chemical garden dan crime scene investigation, serta banyak lagi. Pengunjung karnival adalah terdiri daripada masyarakat sekitar kampus dan Johor Bahru terutamanya di kalangan pelajar dan guru sekolah serta ibu bapa. Karnival ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa perpaduan, sumber manusia, sains, teknologi dan inovasi negeri Johor, Yang Berhormat Encik M. Asojan a/l Muniyandy.

K2M Johor Bahru adalah kesinambungan daripada program yang telah dianjurkan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Kota Marudu sebelum ini. Bertemakan Chemistry – Our life, Our future, K2M mempromosikan sains kimia yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan seharian melalui 8 sub-tema iaitu kehidupan, makanan dan nutrisi, air, tenaga, bahan, minyak dan lemak, perubahan cuaca, dan kualiti hidup. Lebih menarik lagi, sebanyak lebih 70 poster berunsurkan sub-tema tersebut telah dipamerkan di sekitar tapak karnival Dataran Fakulti Sains UTM. Selain itu, syarahan ilmiah yang mengupas topik terkini dalam kimia turut diadakan, antaranya adalah masa hadapan nanokimia, kimia pengguna, kimia forensik dan kerjaya dalam kimia.

Karnival ini mendapat tumpuan daripada ramai pengunjung yang hadir untuk mengenali sains kimia dengan lebih dekat melalui peluang melakukan sendiri eksperimen kimia, mempelajari penyelidikan terkini dalam kimia dan berkongsi ilmu pengetahuan dalam kimia. Pelajar-pelajar sekolah turut diberikan peluang menyertai beberapa siri pertandingan yang menguji kecekapan ilmu kimia.

Penganjuran karnival ini diharapkan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan, antaranya mempromosi kesedaran dan keprihatinan masyarakat kepada kepentingan sains kimia dan menggalakkan generasi muda untuk memilih kimia sebagai bidang kerjaya mereka.










Kredit Photo: En. Supandi Unit Media UTM

1 comment:

  1. Ada lagi laporan dari photographer jabatan?

    ReplyDelete